Kesaksian Ibu Nancy

        Shalom dan selamat malam kepada saudara-saudari dalam Yesus Kristus. Nama saya Nancy anak Rainggau. Saya mempunyai lima orang anak dan merupakan seorang surirumahtangga. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat, kehidupan saya sangat susah, tambahan lagi saya tiada tempat bergantung kerana ibu dan ayah saya sudah meninggal. Saya seorang anak yatim piatu. Hati saya cukup sedih kerana tiada adik beradik yang dapat bersama saya menanggung kesusahan ini.

        Untuk pengetahuan saudara-saudari, saya pernah beberapa kali mendirikan rumah tangga. Saya berkahwin pada usia yang sangat muda. Dulu saya berkahwin bukan kerana cinta sama cinta tetapi keluarga yang menjodohkan saya dengan suami saya yang terdahulu.

        Saya berfikir saya akan bahagia selepas berkahwin seperti orang lain, namun apa yang saya impikan tidak menjadi kenyataan. Pada peringkat awal perkahwinan, saya berasa bahagia bersama suami saya, tetapi semakin lama, semakin hari, hubungan kami mula mengalami masalah. Setiap hari kami bergaduh, dan berselisihan faham. Tambahan pula, suami saya seorang yang pemabuk dan saya selalu menjadi mangsa deraan. Suami saya sering memukul saya. Perasaan sewaktu itu sangat menderita.

        Penderitaan saya tidak berakhir di situ sahaja, sehinggalah suami saya dihantar bekerja ke Kuala Lumpur. Saya bersyukur pada saat itu kerana dia telah mendapat pekerjaan kerana waktu dia bekerja di Sarawak, dia kurang bekerja dan selalu minum dan berjudi . Tetapi anggapan saya ini salah, malah suami saya menjadi lebih teruk apabila dia berada di Kuala Lumpur. Saya sangat kecewa dengan suami saya, dan dia juga tidak pernah mengirimkan wang untuk menampung perbelanjaan saya dan anak-anak. Selama dua tahun dia di sana, saya yang mengirimkan belanja untuk dia di sana kerana waktu itu juga saya turut bekerja untuk mencari nafkah keluarga di sini.

        Dalam perkahwinan saya berasa sangat menderita, saya tiada tempat bergantung, apa yang saya lakukan hanyalah mampu bekerja sendiri mencari perbelanjaan hidup. Sehinggalah pada suatu saat, saya terpaksa menurut kehendak suami saya bahawa dia ingin bercerai. Saya merasa seperti sudah hilang arah, kerana ramai yang menfitnah saya dengan bermacam-macam tuduhan. Dan saya pun bercerai dengan suami saya dan mengikut haluan masing-masing.

        Kemudian saya membuat keputusan untuk meneruskan pekerjaan saya,saya membantu keluarga angkat saya di kedai runcit dan sambil itu membuat kuih untuk menampung perbelanjaan anak-anak saya. Bukan senang untuk menjadi seorang ibu tunggal.

        Bertahun-lamanya saya menjadi ibu tunggal, sekali lagi saya jatuh cinta kepada orang yang betul-betul saya cintai. Dan saya pun berkahwin dengannya. Bersyukur kepada Tuhan kerana dia dapat menerima saya seadanya.

        Selama ini tiada sesiapa yang mengajar dan membawa saya ke rumah Tuhan. Tiada sesiapa yang membawa saya mengenali Tuhan Yesus. Selepas saya berkahwin dengan suami saya ini, saya ditemukan dengan adik ipar yang begitu baik, dia seorang kristian dan mengenal siapakah itu Tuhan. Dia sudah menerima Tuhan Yesus dan dia menceritakan kepada saya bagaimana Tuhan Yesus mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Semasa dia menceritakan tentang Tuhan Yesus, hati saya belum terbuka untuk menerima Tuhan. Tetapi selepas saya mengikuti persekutuan ibu-ibu mengemas baju di Pusat Laicee, hati saya terbuka untuk menerima Tuhan Yesus sabagai Juruselamat saya. Selepas saya menerima Tuhan Yesus dalam kehidupan saya, banyak berkat yang saya terima dari Tuhan.

        Pada tahun ini saya banyak menggiatkan dalam aktiviti gereja, seperti menyertai persekutuan ibu-ibu dan ibadah pada hari ahad. Dalam persekutuan ibu-ibu, saya banyak belajar sesuatu yang baru, Pastor Sency banyak mengajar kami bagaimana menjadi seorang ibu yang baik dan menjalinkan keluarga yang bahagia. Di sini juga saya belajar membaca Alkitab, dan memahami isi Alkitab dengan baik. Saya juga belajar menari bersama ibu-ibu yang lain,belajar menyanyi puji penyembahan.

        Bertahun-lamanya saya menjadi ibu tunggal, sekali lagi saya jatuh cinta kepada orang yang betul-betul saya cintai. Dan saya pun berkahwin dengannya. Bersyukur kepada Tuhan kerana dia dapat menerima saya seadanya.

        Sungguh besar Kasih Tuhan kepada saya saudara saudari. Saya mahu mendekati Tuhan dalam kehidupan saya, di sini saya bersyukur dengan kehidupan saya sebagai seorang kristian. Tuhan Yesus memberkati. Amin.