Kesaksian Kehidupan Muda-mudi

Kesaksian Fazlinda Kesumie
Shalom, nama saya Fazlinda Kesumie. Saya mahu mengongsikan serba sedikit tentang kehidupan saya sebelum saya menjadi anak Tuhan. Sebelum saya mengenali Yesus Kristus, saya seorang yang nakal dan selalu melakukan perkara yang tidak bermoral. Saya seorang yang tidak berpendirian dan tidak punya hala tuju. Keluarga saya selalu memarahi saya. Mereka sentiasa memberi nasihat kepada saya supaya saya berubah. Tetapi, nasihat itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya masih lagi melakukan perkara yang sama. Saya pernah merancang untuk melarikan diri dari rumah sebanyak tiga kali. Namun, saya gagal. Pada tahun 2013, saya melihat banyak perubahan yang berlaku dalam diri saya dan rakan-rakan saya. Pada saat itu, hati saya mulai tersentuh dan bertekad untuk berubah. Saya pernah menghadiri kebaktian di gereja Methodist iban dan jemaat di sana sangat baik. Beberapa bulan kemudian, abang saya mengajak saya untuk beribadah bersama di gereja Methodist Xin Fu Yuan. Saya berasa damai sejahtera di sana. Semenjak itu, saya mula melayani di gereja. saya dapat merasakan banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan saya. Saya lebih yakin bahawa saya benar-benar sudah menerima Yesus Kristus sebagai Penyelamat saya.
Kesaksian Emillia Ak Awa
Shalom, saya Emillia. Sebelum saya mengenali Tuhan Yesus, kehidupan saya agak susah. Keluarga saya perlu bekerja keras mencari rezeki untuk menyara kami adik-beradik. Bila saya melihat keadaan keluarga saya, saya sangat sedih. Mereka perlu membiayai yuran persekolahan kami adik-beradik. Pada mulanya, ada seorang guru datang ke rumah saya dan dia memperkenalkan Tuhan Yesus kepada saya. Saya sangat tertarik dengan apa yang disampaikannya kepada saya. Guru tersebut mengajak saya untuk pergi ke gereja. Saya cuba untuk pergi dan saya sangat bersyukur. Banyak rakan yang saya kenali di sana. Sejak daripada hari itu, kehidupan keluarga saya semakin baik selepas saya mengenali Tuhan Yesus. Terima kasih Yesus.
Kesaksian Patrick Ak Saba
Shalom, saya Patrick. Saya mula mengenali Tuhan pada tahun 2012. Sebelum saya mengenal Tuhan, banyak perkara yang tidak baik yang pernah saya lakukan semasa saya di rumah mahupun di sekolah. Selepas saya menjadi Kristian, banyak perubahan berlaku dalam kehidupan saya. Tuhan membukakan jalan untuk saya supaya saya bertaubat dan mengikuti Tuhan. Walaupun sukar bagi saya untuk berubah tetapi saya cuba untuk mengubah diri saya sendiri. Saya sangat bersyukur kerana Roh Kudus yang memimpin saya dan sentiasa berbicara kepada saya. Dua tahun kemudian, saya mula melibatkan diri dalam aktiviti gereja, pergi menghadiri kebaktian, mengikuti kem-kem yang dianjurkan dan sebagainya. Saya juga belajar untuk mendengar dan mempelajari Firman Tuhan. Saya berharap saya dapat selalu datang ke setiap kebaktian dan persekutuan. Tanpa Tuhan, saya pasti tidak mampu melakukan sesuatu. Terima kasih Tuhan atas peluang yang telah diberikan dan untuk segala sesuatu.
Kesaksian Paula Tang Phei Ling
Shalom dan Salam Sejahtera kepada saudara dan saudari yang kekasih dalam Tuhan. Saya masih berstatuskan seorang pelajar dan saya salah seorang jemaat dan muda-mudi gereja Xin Fu Yuan. Disini saya ingin berkongsi kisah kehidupan saya sebelum saya mengenal Tuhan Yesus. Sebelum ini , saya hidup hanya berpegang kepada ajaran agama iaitu sebagai seorang Kristian tetapi tidak mengikuti ajaran dan perintah agama Kristian ini. Kehidupan saya sebelum mengenal Tuhan Yesus sangat menjijikkan, iaitu saya suka melepak, malah pernah juga saya mencuba untuk mengambil rokok dan segala perbuatan yang tidak baik. Saya pernah menengking ibu bapa saya dan ahli keluarga yang lain kerana sifat saya yang garang. Kami masih tinggal di rumah sewa yang lama dan atas kehendak ibubapa saya, kami pun berpindah ke rumah sewa yang baru, saya mula rasa kehilangan kerana di kawasan perumahan saya yang baru ini, saya tidak mempunyai ramai kawan berbanding di rumah lama dahulu. Saya merasa bosan kerana tidak mempunyai kawan untuk berbual dan bermain.
Pada suatu masa, Tuhan mengutus satu pasangan yang sudah berkahwin dan isterinya sedang sarat mengandungkan anak pertama mereka. Mereka sangat baik dan suka bergaul dengan jiran tetangga termasuk saya dan kakak saya. Sehingga pada suatu hari mereka membawa saya ke sebuah gereja yang jaraknya tidak jauh dari rumah kami, tanpa berfikir panjang saya dan kakak saya pun menuruti pelawaaan pasangan suami isteri tersebut. Dahulu saya hanya mendengar tanpa ambil tahu Siapakah Tuhan itu? Saya pernah menanyakan diri saya sendiri, siapakah yang mencipta saya. Puji Tuhan, atas pelawaan yang pertama itu, Tuhan terus menyentuh hati saya dan saya bersama kakak mula pergi menyertai persekutuan muda-mudi di Pusat Laichee. Saya mula mendapat ramai kawan dan segala aktiviti gereja saya sertai menyebabkan saya semakin bertumbuh dalam kepercayaan saya kepada Yesus Kristus.
Saat ini, saya merasa bersyukur kepada Tuhan kerana saya belum terlambat lagi untuk bertaubat dan mengakui kesalahan saya pada masa silam, sekarang saya tidak keseorangan kerana Tuhan berserta dengan saya. Mulai saat itu, saya mula memikul salib Yesus. Terima Kasih . Tuhan Memberkati.
Kesaksian Annie Tang Ai Ling
Sebelum saya menerima Tuhan Yesus, saya selalu lepak di kawasan bangunan bersebelahan dengan tempat tinggal saya. Dahulu saya seorang yang agak degil dan jahat. Pada suatu masa, ada sebuah van datang mengambil kami untuk pergi sembahyang tetapi kami tidak pergi. Setelah berpindah ke rumah baru, saya rasa sangat sunyi sebab tidak ada kawan. Ketika itulah, saya berjumpa dengan sepasang suami isteri iatu Saudara Donald dan Saudari Shiela. Melalui dialah saya mengenal Tuhan. Saya bersyukur kerana dapat beribadah di gereja dan mempunyai ramai kawan. Bermula dari saat itu, saya belajar melayani Tuhan sampailah sekarang. Inilah perkongsian yang dapat saya kongsikan bersama saudara dan saudari semua.
Kesaksian Rebecca Ak Bujang
Nama saya Rebecca. Sebelum saya mengenal Tuhan Yesus, saya selalu melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen berpanjangan, merokok, melawan ibu bapa dan sebagainya. Pada tahun 2012, saya mulai menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat saya. Saya juga ada merasakan perubahan berlaku dalam diri saya. Orang yang mengajak saya ke gereja adalah Cikgu Yong. Pada tahun 2014, saya mula bergiat aktif dalam pelayanan di gereja. saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang untuk melayani dan dapat mengenali rakan yang lain. Jika bukan kerana kasih Tuhan saya pasti tidak dapat mengenal Tuhan sejauh ini dan bersama anda semua.
Kesaksian Margareth
Nama saya Margareth. Sebelum saya mengenal Tuhan Yesus, saya menghadapi banyak masalah di dalam keluarga, dan di sekolah. Cikgu Yong orang yang pertama menginjili saya. Saya berasa takut kerana saya masih belum menerima Tuhan Yesus. Dan untuk yang ketiga kalinya mereka datang menginjili saya, barulah saya sedar akan kehadiran Tuhan yang sentiasa menyertai saya. Saya tidak pernah terfikir pun untuk ke Gereja Xin Fu Yuan. Tetapi mendengar apa yang disampaikan Tuhan melalui Cikgu Yong, saya pun tertarik untuk memuji Tuhan. Pada ketika itu, usia saya baru 10 tahun. Pada usia saya 12 tahun, saya mula kerap datang ke gereja. saya dapat rasakan banyak perubahan berlaku dalam kehidupan saya. Saya semakin rajin belajar dan masalah dalam keluarga saya semakin berkurangan. Saya berasa amat bersyukur atas kasih karunia Tuhan yang tiada berkesudahan. Terima kasih.
Kesaksian Jessica Jelumi
Nama saya Jessica Jelumi. Saya ingin memberikan kesaksian tentang kehidupan saya. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus, kehidupan saya agak kacau-bilau dan tidak tentu arah. Ibu dan bapa saya sering bergaduh. Ketika mereka bergaduh saya mula menggunakan masa itu dengan melepak dengan kawan dan bermain komputer di Pusat Siber. Selepas berpindah sekolah, saya terjumpa dua orang kawan saya dan merekalah yang membawa saya ke gereja. Tuhan sanggup mendorong saya untuk berubah dan memberi kebijaksanaan kepada saya untuk berdoa. Setelah saya menerima Tuhan Yesus, saya jarang pergi menghabiskan masa dengan melepak dan bermain komputer. Banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan saya. Saya sering berdoa supaya ibu bapa saya tidak bergaduh lagi. Tanpa disedari, mukjizat Tuhan itu memang nyata bagi saya. Kehidupan saya menjadi lebih baik sekarang. Terima Kasih Yesus.
Kesaksian Lony Liana Ak Tamen
Nama saya Lony Liana. Kehidupan saya berada dalam kegelapan sebelum saya mengenali dan menerima Tuhan Yesus. Saya langsung tidak kenal siapa itu Tuhan Yesus. Saya pernah sekali mengikuti kawan-kawan saya pergi ke pusat membeli-belah di Medan Mall sebelum kelas tambahan bermula. Perbuatan saya ini tidak diketahui oleh ibu dan bapa saya. Perbuatan kami itu akhirnya mengundang padah. Guru di sekolah mengetahui perbuatan kami itu dan nama kami telah disenarai hitamkan. Dahulu saya tidak tahu bagaimana apa itu doa, bagaimana cara berdoa, apa isi doa, bila perlu berdoa, di mana berdoa dan mengapa harus berdoa. Saya tidak mempunyai kawan yang boleh menceritakan tentang Tuhan Yesus kepada saya dan mengajak saya ke gereja.Pada suatu hari, Cikgu Yong dan beberapa orang guru lain menginjil di kawasan perumahan saya. Cikgu Yong mengajak saya datang ke gereja pada hari Ahad. Mula-mula saya datang untuk menghadiri sekolah minggu. Saya cuma dengar dan ikut apa saja yang mereka lakukan walaupun saya memang tidak tahu. Selepas itu, saya pulang ke rumah dan meminta ibu saya untuk menuliskan doa untuk saya. Lama-kelamaan, saya tahu cara berdoa dan memimpin doa. Doa pertama yang saya pelajari ialah ‘Doa Bapa Kami’. Setelah itu, saya berani meminta keizinan daripada ibu saya supaya saya dibenarkan untuk pergi ke Kebaktian. Akhirnya ibu membenarkan saya pergi. Saya mula bergiat aktif dalam pelayanan terutamanya dalam kelas tarian rebana. Saya juga pergi ke Persekutuan Doa. Saya dibaptiskan pada 20 April 2014. Sekarang saya sangat bersyukur kerana sudah tahu berdoa dan sudah mengenali Yesus Kristus. Terima kasih kepada Tuhan kerana melalui orang lain saya juga diselamatkan dan beribadah bersama-sama.
Kesaksian Eunice Chua Jia Shiou
Dari kecil lagi saya sudah pergi ke gereja. Tetapi ketika saya berumur 18 tahun saya belajar untuk mengenali Tuhan dengan lebih dalam lagi. Sebelum saya kenal Tuhan Yesus, kehidupan say seperti kehidupan orang biasa. Saya mempunyai sekumpulan kawan baik tetapi sentiasa menghadapi masalah ketika bersama dengan mereka.mereka sentiasa mempergunakan saya untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka sering membuli saya dengan memperolokkan nama saya yang tidak enak didengar. Saya berasa sedih dan kecewa terhadap perbuatan mereka tetapi saya tetap bersama mereka walaupun mereka kadang kala membuat saya sakit hati. Sebab saya hanya ada mereka sebagai kawan yang sentiasa ada di sisi saya. Selama 4 tahun kami berkawan akhirnya saya merasa letih dengan sikap mereka yang suka berbuat jahat. Mereka juga sering mengata saya dari belakang. Saya pernah bertanya kepada diri sendiri apakah alasan mereka berbuat demikian terhadap saya walaupun saya tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka sakit hati. Akhirnya kami putus kawan. Ketika saya bersedih, Tuhan mengutus seorang sahabat di sekolah kepada saya. Kami mula berkongsi bersama-sama tentang keluarga, dan Tuhan Yesus. Sahabat saya itu sering memberi nasihat kepada saya. Dalam persahabatan kami, kami menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Saya tahu Tuhan mengutus dia untuk menghiburkan saya dan membimbing saya kepada kebenaran.Saya bersyukur dengan apa yang Tuhan beri kepada saya. Saya dapat merasakan kasih dan cinta Tuhan kepada saya. Terima kasih Tuihan.
Kesaksian Vanessa Gedi Ak Nyuak
Nama saya Vanessa Gedi. Disini saya nak mengongsikan kesaksian tentang kehidupan saya. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat saya, ada banyak masalah yang saya alami. Saya bukan dari keluarga yang berada. Banyak pencobaan dalam kehidupan saya. Malah, selepas saya menerima Tuhan Yesus juga kelakuan dan cara hidup saya masih sama. Namun, pada tahun lepas, gereja kami ada mengadakan kem doa untuk kalangan muda-mudi BM. Melalui kem ini saya banyak belajar sesuatu. Dan apabila saya mengimbas kembali masalah apa yang sudah berlaku dalam kehidupan saya selama ini, saya diingatkan melalui satu lagu rohani yang menjadi kegemaran saya malah menjadi panduan kehidupan saya mulai hari ini iaitu, “Janji-Mu Seperti Fajar”. Ketika saya menghadapi kehidupan ini, saya sering bertanya jalan manakah yang harus kupilih? Kerana saya berasa diri tidak mampu dan tidak sanggup, tetapi semuanya kerana Tuhan, Tuhanlah yang menjadi tempat jawapan bagi kehidupan saya. Kerana dalam kehidupan, saya percaya bahawa saya tidak pernah bersendirian kerana ada Allah yang menggendong saya. Tangan Tuhan membelai jari jemari dan cinta Tuhan amat memuaskan dalam kehidupan saya. Maka melalui semua ini, saya selalu menyatakan kepada Tuhan dimana setiap saat saya akan bertanya kepada diri saya, adakah saya sangat mengasihi-Nya? Kedatangan saya ke gereja juga bukan kebetulan malah semuanya dalam rancangan Tuhan. Saya mula datang kesini oleh sebab abang saya yang mengajak saya. Saya mula merasa syukur kerana saya dapat mengubah kehidupan saya sedikit demi sedikit. Saya juga merasa bahawa saya kurang bergaduh dengan ibu bapa saya. Saya hanya perlu percaya dan yakin terhadap diri sendiri.
Kesaksian Kiing Lee Ching
Shalom, nama saya Kiing Lee Ching, saya dari gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu. Tiga tahun yang lepas, hidup saya penuh dengan kekosongan dan kehampaan. Saat ini saya beriman dan menjemput Yesus memenuhi segalanya dalam hidup saya dan sekarang saya merasai semuanya itu seperti Cinta, Sukacita dan Damai Sejahtera lebih daripada yang diberikan dunia. Yesus adalah hasrat dalam hidup saya.
Kehidupan saya sebelum menerima Tuhan Yesus, saya sangat banyak menghadapi dugaan yang sukar untuk saya terima dan selesaikan. Pada masa yang sama, keluarga saya belum menerima Tuhan Yesus. Oleh sebab itu saya banyak terlibat dalam masalah sosial seperti bergaduh, melawan cakap ibu, lepak dan ponteng sekolah. Saya seorang yang keras kepala dan sukar untuk orang lain memahami diri saya kerana saya selalu berahsia. Jelasnya pada masa itu kehidupan saya sangat tidak menyenangkan hati Tuhan.
Pada tahun 2012 iaitu pada 24 Januari, sepupu saya telah mengajak saya untuk pergi ke sebuah gereja iaitu di Gereja Xin Fu Yuan, malangnya pada saat itu pengertian saya mengenai Juruselamat kita Tuhan Yesus masih sangat cetek, disebabkan sepupu saya pada masa itu umur dia masih 12 tahun. Dia belum matang sangat untuk mengajar saya apa yang tertulis di alkitab. Pada masa itu, iman saya mulai bergoyah sehingga saya mula sesat selama 5 bulan tidak datang ke gereja.
Selepas 5 bulan kemudian, saya kembali lagi ke gereja pada masa itu ada seorang jemaat gereja sentiasa mendorong saya dan selalu mendengar masalah yang diluahkan saya kepadanya. Mulai hari itu, saya mula melayani di gereja tempat saya beribadah bersama-sama dengan pelayan-pelayan di gereja tersebut. Iman saya semakin diteguhkan dan kehidupan saya semakin diberkati.
Kesaksian Flora Ak Awa
Nama saya Flora. Bagaimana saya dapat mengenal Tuhan Yesus? Semuanya bermula daripada penginjilan. Beberapa orang datang ke rumah saya pada hari ahad semasa saya sedang berehat di rumah bersama keluarga. Salah seorang wanita dari kumpulan tersebut menceritakan tentang siapakah itu Tuhan Yesus dalam hidup manusia. Mereka memberikan kesaksian kehidupan mereka ke dalam keluarga saya. Pada masa itu juga saya membuat keputusan untuk pergi sambil membawa kakak dan ibu saya ke gereja. Walaupun pada masa itu kami datang dengan berjalan kaki tetapi keceriaan dari wajah kami melihatkan bahawa kami ingin tahu Juruselamat kehidupan kami yang sebenarnya. Setiap minggu saya akan pergi ke gereja dan mulai mengenal ramai jemaat di gereja. Dulu kehidupan saya sebelum mengenal Tuhan sangat berbeza iaitu sering melakukan perkara yang tidak menyenangkan hati Tuhan. Banyak cabaran dan dugaan yang mendatang malah tidak mampu untuk saya tempuhi. Namun sekarang adalah Puji Tuhan, Kemuliaan semuanya bagi Tuhan.
Tetapi yang menyedihkan adalah, ibu saya tidak lagi pergi ke gereja, saya merasa amat kecewa kerana ibu saya tidak lagi datang ke gereja. Namun saya sentiasa berdoa agar Tuhan sekali lagi membuka pintu hati nya untuk kembali kepada Tuhan. Saya selalu bersyukur kepada Tuhan kerana Tuhan adalah sahabat saya sekarang sampai selama-lamanya. Saya berterima kasih kepada Tuhan kerana saya dipilih untuk mengenal Tuhan Yesus dan sanggup membaptis saya.
Kesaksian Viscelona Sendai Ak Kantan
Salam damai kepada saudara saudari yang dikasihi dalam Kristus. Bersyukur saya kepada Tuhan kerana diberi peluang sekali lagi untuk mengongsikan tentang kasih Tuhan yang dicurahkan dalam kehidupan saya.
Setelah menamatkan pengajian saya, saya hanya duduk di rumah, tidak bekerja, tonton televisyen, makan dan tidur. Memang menbosankan kerana setiap hari saya melakukan perkara yang sama. Saya mempunyai kerinduan untuk bersekutu dengan Tuhan. Adik saya pernah mempelawa saya untuk pergi ke kebaktian bersamanya. Saya pergi tapi saya balik dengan kekosongan. Pada suatu hari, sepupu perempuan saya yang setahun lebih muda dari saya mengajak saya ke gereja. Walaupun pada saat itu, ibu saya tidak mengizinkan saya untuk pergi bersamanya. Saya mengalami pergumulan, Saya mula bertengkar dengan ibu pada pagi itu. Bapa saya hanya melihat pertengkaran kami. Ketika itu, saya menarik nafas panjang dan terus memberanikan diri melangkah pergi ke gereja bersama sepupu saya. Hari demi hari berlalu, akhirnya saya melayani. Saya pergi ke persekutuan, kebaktian dan menyertai aktiviti-aktiviti di gereja.
Di dalam pelayanan saya di gereja mahupun di dalam keluarga, banyak cabaran, dugaan, rintangan dan halangan yang mendatang. Ada ketikanya, saya rasa ingin melarikan diri tapi saya tidak berdaya. Saya serahkan semua-Nya ke dalam tangan Tuhan. Biar dengan kuasa Tuhan Yesus Kristus, saya dapat menangani segala kekangan dalam kehidupan saya. Saya berseru kepada Tuhan supaya diberi kekuatan untuk melakukan sesuatu. Saya mahu Tuhan menjadi yang terutama di dalam hidup saya.
Terima kasih Yesus, kerana Tuhanlah saya masih lagi mampu berdiri sampai sekarang. Haleluya, puji Tuhan dan Yesus memberkati.
Kesaksian Murni Ak Mikai
Shalom dan salam damai bersama Tuhan Yesus Kristus, bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan peluang untuk berkongsi kisah kehidupan saya mengenal Tuhan Yesus. Kenapa saya tidak kongsikan kehidupan saya sebelum mengenal Tuhan? Ini kerana saya merasa bahawa kehidupan saya yang sudah mengenal Tuhan akan memberi penglihatan kepada semua anda yang membaca kesaksian saya ini.
Saya mula tahu siapa itu Tuhan ketika saya berumur 10 tahun.Saya menyertai kelompok sekolah minggu setiap pagi hari Ahad tanpa pergi ke kebaktian pada waktu malam oleh kerana umur saya belum mencukupi untuk pergi menyertai kebaktian bersama dengan jemaat yang lebih dewasa daripada saya. Namun begitu, untuk 2 tahun yang seterusnya saya berjaya mencapai keinginan hati saya untuk pergi kebaktian Ahad, dan mendengar khutbah, menyanyikan pujian yang sangat berbeza daripada pujian sekolah minggu saya dahulu. Hari semakin hari, saya melatih diri saya untuk menjadi seorang Kristian yang memiliki sebuah iman yang juga ada pada diri orang lain. Saya sering bertanya kenapa orang Kristian perlu memiliki Iman ? Sedangkan dalam pengetahuan saya iman itu hanya sesuatu perkara yang kecil sahaja.
Ternyata, Iman itu menyelamatkan.
Kemudian, saya mula melibatkan diri dalam sebuah pelayanan, saya berani untuk mencuba sesuatu yang baru dalam gereja, oleh kerana itulah saya sanggup melakukan pelbagai pelayanan di gereja. Pada tahun pertama saya melayani iaitu pada tahun 2010, ketika saya berumur 15 tahun, banyak perkara yang tidak saya fahami dan paling teruk sekali ialah “saya tidah tahu”. Pada tahun itu juga saya dibaptis dan menerima peneguhan jemaat pada tahun 2012. Sehingga ke saat ini, saya masih digelar sebagai pelayan di gereja iaitu melayani sepenuh masa di gereja.
Saya amat bersyukur kerana kehidupan sentiasa diperbaharui melalui kasih Tuhan. Tuhan Yesus bukan hanya Penyelamat tetapi Dia adalah Penghibur dan segalanya bagi kita.
Kesaksian Berthrus Ak Cliff Richard
Nama saya Berthrus. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana telah memberi peluang kepada saya untuk membuat kesaksian kehidupan saya sebagai seorang Kristian. Saya mengenal Tuhan ketika umur saya tujuh tahun. Saya mula diperkenalkan kepada Tuhan oleh seorang guru yang datang ke rumah saya untuk menginjil saya. Pada setiap hari Ahad, saya pergi ke gereja untuk beribadat dan ingin mengenal Tuhan lebih dalam lagi. Saya mahu belajar tentang Kristus dan makna kehidupan seorang Kristian. Bermula daripada hari itu, saya mengikut Yesus. Dan sekarang saya mahu mempersiapkan diri untuk dibaptis dan menjadi sebahagian daripada Kristus. Itulah kesaksian saya.
Kesaksian Christina Nawi Ak Kantan
Salam sejahtera. Saya Christina Nawi. Saya merupakan anak bongsu dalam keluarga saya. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus, saya merupakan seorang anak yang nakal, tidak menghormati ibu bapa dan tidak pernah serius dalam kehidupan saya. Saya tidak pernah merasa takut untuk melakukan kesalahan. Ketika saya berada di Tingkatan 1, kakak saya mengajak saya ke gereja untuk menghadiri kebaktian. Saya tidak pernah menolak ajakannya malah saya pergi mengikuti kakak saya. Saya bersyukur kerana tidak lama selepas itu, saya menerima Tuhan Yesus di dalam kehidupan saya dan menyerahkan diri saya untuk dibaptis pada 15 Ogos 2010. Selepas saya mengikut Yesus, kehidupan saya sangat berbeza. Ada jatuh dan bangun di dalam pelayanan. Saya banyak kali melayani di gereja yang berlainan. Tetapi setelah saya mengikuti kakak sulung saya ke gereja di tempat saya melayani sekarang. Puji Tuhan, saya boleh menganggap diri saya sebagai pengikut Kristus. Terima kasih.
Kesaksian Jackry Ak Berundang
Shalom, nama saya Jackry. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat dalam diri saya, kehidupan saya sangat susah. Saya selalu bergaduh dengan keluarga saya. Saya selalu keluar lewat malam dan melepak dengan kawan. Saya mudah terikut-ikut dengan pengaruh kawan. Apa yang mereka buat saya akan ikut sahaja. Saya juga pernah ponteng sekolah dan ikut kawan pergi ke Pusat Siber. SEtelah sebulan, akhirnya saya berhenti sekolah dan mula bekerja. Pada suatu malam, kawan saya Raymond, mengajak saya pergi ke gereja. saya mula berfikir dan bertanya-tanya adakah ini panggilan Tuhan untuk saya melalui kawan saya? Hati saya terbuka untuk bersamanya pergi ke gereja dan menerima Tuhan sebagai juruselamat dalam kehidupan saya. Kehidupan saya menjadi lebih baik berbanding sebelum saya mengenal Tuhan. Saya jarang keluar waktu malam dan melepak. Saya selalu pergi ke gereja dan mahu melayani Tuhan untuk selamanya. Setakat ini sahaja perkongsian saya. Terima kasih.
Kesaksian Calvin Yek Ik Siong
Shalom saya Calvin Yek. Saya mahu mengongsikan kisah kehidupan saya semasa mengenal Tuhan. Sebelum saya dibaptiskan, saya menghadapi banyak cabaran dalam mencari kebenaran hidup. Saya pernah berputus asa tetapi dengan semangat remaja yang berkobar-kobar, saya tidak akan berputus asa. Pada akhirnya, saya telah menjumpai kebenaran hidup sebenar. Setelah saya dibaptis, saya mengharungi pelbagai cabaran hidup dan pengalaman untuk menjadi lascar Kristus. saya tahu Tuhan sentiasa ada di sisi saya. Ini sahaja kesaksian saya di dalam kehidupan saya. Terima kasih dan Tuhan memberkati.
Kesaksian Rossiti Ak Debo
Nama saya Rossiti Ak Debo. Saya berumur 11 tahun. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus, saya suka melepak, melawan cakap ibubapa dan suka melawan guru di sekolah. Tahun lepas sepupu saya mengajak saya pergi ke gereja untuk memuji dan menyembah Tuhan. Akhirnya, saya menerima Tuhan dalam kehidupan saya. Pada setiap hari Ahad, saya bersama-sama dengan sepupu saya datang ke sekolah minggu sesipagi dan malam. Sebelum kelas bermula saya disuruh oleh Cikgu Yong dan Kak Lony untuk memimpin doa. Saya cuba sedaya upaya untuk berdoa dan akhirnya Cikgu Vivian mengajar saya bagaimana harus berdoa. Selepas itu, sepupu saya mengajak saya pergi ke persekutuan muda-mudi. Di sana saya belajar tentang Alkitab. Kemudian saya pergi ke persekutuan doa. Saya belajar dari Abang Andi, Kak Murni dan Kak Luna tentang bagaimana mendekatkan diri dengan Tuhan. Mereka selalu memberi saya tunjuk ajar untuk mendekati diri dengan Tuhan. Bukan sahaj datang ke persekutuan atau berdoa, tetapi dengan membaca Alkitab juga. Kak Luna pernah menyuruh saya membaca Kitab Mazmur dengan memahami isi Firman Tuhan. Saya boleh memahaminya. Pada 12 April 2015, saya dibaptis oleh Rev. Wong Koi Fo. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana saya sudah menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat. Saya mohonTuhan memberkati keluarga saya yang masih belum menerima Tuhan Yesus. Terima kasih dan Tuhan memberkati.